Pasukan
pengakap sekolah sangat aktif. Kami perlu menghadiri perjumpaan pada
setiap minggu. Biasanya, kami akan dilatih untuk belajar cara-cara
berkawad kaki. Hal ini dikatakan demikian kerana pertandingan kawad kaki
unit beruniform merupakan aktiviti utama dalam agenda tahunan pasukan
pengakap. Oleh hal yang demikian, saya mempelajari teknik berkawad
dengan berpegang pada prinsip genggam bara api, biar sampai jadi abu.
Walaupun berkawad kaki merupakan latihan yang sukar, namun saya tetap
dapat menguasainya kerana saya tidak mudah berputus asa untuk
mempelajari sesuatu ilmu.
Selain itu,
saya dan rakan-rakan yang menyertai pasukan pengakap juga diajar
cara-cara untuk mendirikan khemah. Hal ini dikatakan demikian kerana
kami perlu mendirikan khemah sendiri tanpa bantuan guru pengajar sewaktu
perkhemahan dijalankan. Dalam aktiviti ini, kami diajar teknik mencari
batu yang sesuai, kayu yang kukuh, dan mengetahui kelengkapan yang perlu
disediakan untuk mendirikan khemah. Di samping itu, kami juga
diingatkan agar sentiasa mengingati kata-kata orang tua iaitu berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
sewaktu mendirikan khemah bersama kawan-kawan. Dengan berbuat begitu,
bukan sahaja khemah yang kukuh dapat didirikan, malah hubungan
persahabatan yang utuh seperti isi dengan kuku dapat dibina.
Di
samping itu, saya juga mempelajari cara-cara untuk memberikan bantuan
kecemasan. Hal ini dikatakan demikian kerana khidmat pasukan pengakap
sekolah amat diperlukan apabila pihak sekolah mengadakan program seperti
Hari Kantin, Hari Sukan, Hari Bertemu dengan Pelanggan dan sebagainya.
Oleh sebab itu, ilmu bantuan kecemasan ini merupakan pengetahuan yang
amat berguna kepada saya. Saya diajar cara membasuh luka, membalut luka,
dan mengikat tangan yang patah apabila berlakunya kecederaan. Saya amat
yakin bahawa ilmu dalam bidang ini menjadikan diri saya lebih kental
dan tabah menghadapi cabaran sebagai pelajar kerana ilmu pelita hidup.
Sementara
itu, saya turut dapat mempelajari ilmu ikhtiar hidup apabila menyertai
pasukan pengakap sekolah. Hal ini memang benar kerana guru pembimbing
pengakap sentiasa berkongsi ilmu dengan kami tentang pokok yang boleh
dijadikan herba untuk mengubati luka dan mengurangkan kesakitan. Dalam
pada itu, kami turut diajar untuk mengenal pasti pokok yang menyimpan
banyak air untuk diminum. Dengan ilmu yang saya pelajari ini, persiapan
untuk menyertai perkhemahan di dalam hutan akan menjadi lebih sempurna.
Saya sentiasa mengingati pesanan guru pembimbang yang mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Sepanjang
menyertai pasukan beruniform ini, saya juga banyak memperoleh
pengalaman hidup yang berharga sebagai bekalan masa depan. Hal ini
dikatakan demikian kerana saya dapat mempelajari kepentingan bekerja
dalam pasukan kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Misalnya, suatu aktiviti perkhemahan yang dijalankan hanya dapat
dijayakan dengan kerjasama daripada semua pihak termasuklah guru
pengiring, pelatih, dan ahli pengakap. Oleh itu, saya diajar untuk
menerima hakikat bahawa kita harus hidup bersatu padu untuk menghadapi
cabaran. Pendek kata, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Kesimpulannya,
pasukan pengakap merupakan satu daripada aktiviti kokurikulum yang saya
sertai. Saya yakin bahawa setiap unit beruniform mahupun persatuan dan
kelab mempunyai keunikan yang tersendiri. Para pelajar harus
menyertainya untuk merasai dan melalui sendiri pengalaman sewaktu
menyertai aktiviti tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana tak kenal maka tak cinta.
Sebagai penyimpul bicara, kita haruslah menyahut seruan Menteri
Pelajaran untuk menjadikan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum sebagai
kriteria penting dalam penerimaan kemasukan ke universiti atau
institusi pengajian tinggi. Oleh sebab itu, jom kita aktif dalam
kegiatan kokurikulum.
Dipetik dari http://cikgutancl.blogspot.com/2011/09/ramalan-1-karangan-panjang-pmr-2011.html
No comments:
Post a Comment