Pada
alaf globalisasi dan modenisasi ini, gejala sosial sentiasa menghiasi
lembaran akhbar. Gejala sosial yang semakin meruncing telah
menggusarkan masyarakat. Fenomena ini diibaratkan duri dalam daging
dalam sosial kita. Kenapa pembangunan mentaliti rakyat kita tidak
selaras dengan pembangunan fizikal kita sehingga penyakit sosial
sentiasa menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan? Tampaknya,
masalah gengsterisme, vandalisme, samseng jalanan, pembuangan bayi,
remaja lari dari rumah sering berkait rapat dengan kebejatan institusi
keluarga. Walhal, peranan keluarga amat signifikan untuk mengekang
sindrom sosial terutamanya masalah remaja.
Salah
satu peranan institusi keluarga adalah ibu bapa perlu memberikan
didikan agama dan moral kepada anak mereka sejak kecil kerana melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama dan moral bagaikan perisai
yang berupaya menghalang segala godaan maksiat . Senario ini dapat
membantu anak-anak mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala
sosial. Sebagai contoh, bapa boleh mengajar anak-anak mereka sendiri
atau menghantar mereka ke sekolah agama. Ketua keluarga perlu
membimbing anggota keluarga untuk menjalankan solat sembahyang dan
mengaji kitab-kitab. Sehubungan dengan itu, anak-anak dapat membezakan
antara kaca dengan permata kerana mempunyai jati diri yang kukuh sebagai
pedoman hidupnya.
Selain
itu, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk mengawasi pergerakan
anak-anak. Ibu bapa perlulah mengawasi tingkah laku anak mereka sama ada
di sekolah mahu pun di luar kawasan sekolah. Hal ini terjadi demikian
kerana banyak pengaruh luaran seperti pengaruh rakan sebaya akan
menghasut jiwa remaja yang bertelinga nipis dan pantang dicabar. Jika
rakan sebaya mereka tidak berperibadi mulia, remaja yang setahun jagung
dan darah setampuk pinang pasti akan mengikut jejak langkah rakan
mereka, seperti melepak, berlumba haram dan sebagainya. Lantarannya,
pergaulan anak tidak boleh dipandang enteng oleh ibu bapa. Dengan kata
lain , ibu bapa perlu mewujudkan keluarga yang bahagia demi membentuk
personaliti anak-anak yang mulia sehingga berjaya.
Tidak
dapat disangkal lagi bahawa ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua
perlu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak. Suri
teladan ibu bapa mampu membentuk sahsiah anak-anak. Tambahan pula,
sikap anak-anak yang suka meniru apa-apa sahaja yang dilihatnya. Bak
kata peribahasa, “bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Ibu bapa perlu
menjauhi kegiatan yang negatif seperti merokok, minum alkohol, mengakses
laman web lucah dan lain-lain lagi. Bapa borek anak rintik merupakan
peribahasa yang perlu dihayati oleh ibu bapa. Sikap ibu bapa yang ego,
individualistik, materialistik, dan bongkak akan mencanai generasi
muda yang berakhlak biadab dan berbudaya sumbang.
Dalam
pada itu, kasih sayang yang sempurna dan kamil amat diperlukan oleh
anak-anak. Ekoran daripada itu , ibu bapa wajar memberikan kasih sayang
yang sepenuhnya kepada anak-anak. Kejadian ini berlaku kerana
anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang akan mudah terpengaruh oleh
gejala sosial. Ibu bapa perlu sentiasa melayani anak mereka bagai
menatang minyak yang penuh. Sebagai contoh, ibu bapa sewajarnya membelai
dan mengucapkan kata-kata sayang kepada anak-anak mereka. Sementelahan,
ibu bapa perlu memberikan pujian yang ikhlas ketika anak mereka
mencapai sesuatu kejayaan atau melakukan perkara yang betul. Dengan itu,
anak-anak akan berasa gembira dan seronok berada di rumah bersama-sama
keluarga mereka. Mereka pun sanggup meluahkan isi hati ketika mengalami
kemusykilan kerana ibu bapa mereka bersedia mendengar rintihan jiwa
mereka. Ternyata keluarga yang harmoni berdominan untuk membanteras
kegiatan negatif.
Di
samping itu , setiap ahli keluarga juga perlu sentiasa berkongsi
masalah. Ibu bapa harus sentiasa bertanyakan masalah anak-anak.
Seterusnya, ibu bapa perlu membantu anak-anak menyelesaikan masalah yang
dihadapi. Sebagai contoh, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membantu
masalah pelajaran anak-anak. Sebaliknya anak-anak perlu memahami
tanggungjawab dan bebanan ibu bapa mereka. Anak-anak perlu sentiasa
membantu ibu bapa membuat kerja rumah tangga untuk meringankan tekanan
mereka. Dengan itu, setiap anggota keluarga akan berasa diri mereka
diberikan perhatian oleh ahli keluarga yang lain. Aktiviti keluarga
seperti gotong-royong dan hari keluarga patut diadakan dari semasa ke
semasa supaya mengeratkan silaturahim sekeluarga.
Secara
tuntasnya, segala langkah di atas tidak akan berjaya sekiranya tidak
mendapat kerjasama daripada semua ahli keluarga seperti ibu bapa, abang
dan kakak. Slogan “Keluargaku, syurgaku”, dan “Semakin hari semakin
sayang” patut dihayati oleh seisi komuniti kita supaya melahirkan
masyarakat madani dan sakinat.
No comments:
Post a Comment