Dewasa ini kita sering dihambat dengan masalah disiplin yang
berlaku dalam kalangan remaja. Hal ini pastinya amat membimbangkan banyak pihak
kerana remaja merupakan tiang negara pada masa hadapan. Keruntuhan moral ini
boleh menjejaskan matlamat negara dalam melahirkan modal insan yang berkualiti
dalam memacu negara ke era negara maju. Jika diperhalusi, pelbagai faktor yang
mendorong kepada masalah disiplin dalam kalangan remaja.
Faktor utama yang dikenal pasti ialah berpunca daripada ibu
bapa yang tidak mendidik anak-anak dengan didikan yang betul. Jika ibu atau
bapa tidak boleh mendidik anak-anak mereka dengan baik, pada siapakah lagi
tanggungjawab itu harus dipikul? Sesetengah ibu bapa belakangan ini juga bersikap
seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan lurus. Jelas, ibu bapa perlu
memainkan peranan mereka dalam mencorak keperibadian remaja.
Di samping
itu, faktor yang mendorong kepada permasalahan ini adalah berpunca daripada ibu
bapa yang sibuk mencari nafkah sehinggakan anak-anak terabai. Kesempitan hidup
memang tidak boleh dinafikan dalam mencari sesuap nasi untuk membesarkan
anak-anak. Namun demikian, sering kali anak-anak yang masih mentah ini
mengambil peluang yang ada untuk berseronok dengan rakan-rakan sehinggakan
timbul masalah yang lain. Dalam hal ini ibu bapa perlu bijak dalam membahagikan
masa dengan anak-anak.
Seterusnya,
pengaruh rakan sebaya turut menjadi penyumbang utama dalam peningkatan masalah
disiplin pelajar. Masakan tidak kerana golongan remaja kini banyak menghabiskan
masa bersama-sama rakan sebaya berbanding ahli keluarga. Didorong atas sifat
ingin tahu, mereka pasti akan mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup mereka
yang mungkin boleh menggelapkan masa depan sendiri. Sudah terang lagi bersuluh,
remaja atau pelajar perlu bijak dalam memilih rakan jika tidak mahu terlibat
dalam masalah ini.
Selain itu,
pengaruh media massa turut menjadi faktor utama dalam meruncingkan lagi
permasalahan disiplin ini. Lihat sahaja di layar perak mahupun di kaca-kaca
televisyen yang banyak menyiarkan aksi keganasan dan masalah sosial. Contoh
yang paling ketara seperti filem Bohsia, Adnan Sempit dan KL Gengster yang
memaparkan tema keganasan yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Sedikit sebanyak remaja yang menebal sikap ingin tahunya itu pasti akan
mengikut aksi yang terpapar dalam filem yang berkenaan.
Izharnya,
terdapat banyak faktor yang mendorong kepada peningkatan masalah sosial dalam
kalangan remaja. Namun demikian, perkara ini boleh diatasi jika semua pihak
memainkan peranan masing-masing serta saling berganding bahu bagai aur dengan
tebing. Secara tidak langsung, hasrat kerajaan dalam melahirkan modal insan
yang berkualiti tinggi pada tahun 2020 bakal terlaksana.
No comments:
Post a Comment